Thursday, April 7, 2011

Ruben terpesona kehebatan al-Quran

MANUSIA lebih mudah hilang pegangan dan pedoman hidup apabila ditimpa dengan pelbagai musibah pada satu masa. Namun mujur bagi Abu Bakar Ruben yang melihat musibah yang menimpa itu sebenarnya mengkehendaki beliau untuk lebih berfikir.

Kehilangan sahabat karib akibat ketagihan dadah, orang tuanya bercerai dan beliau sendiri menghadapi masalah kesempitan kewangan bertalu-talu dalam satu masa tidak menyebabkan Ruben mengambil jalan singkat hingga memudaratkan diri.

"Apabila ditimpa semua ini menyebabkan saya tertanya-tanya apakah sebenarnya makna dan tujuan hidup ini," soalnya.

Malah persoalan seperti itu turut menyebabkannya melihat dari perspektif agama kerana beliau sedar agama mampu memberikan makna dan kekuatan dalam hidup.

Ruben dibesarkan di Melbourne, Australia oleh orang tua yang tidak percayakan Tuhan.

"Semasa kecil, saya memang dibesarkan untuk menganut Kristian. Tetapi malangnya orang tua saya ateis, sehingga saya sendiri cenderung untuk memiliki pandangan ateis," ujarnya.

Lalu Kristian merupakan agama pertama yang beliau cuba pelajari. Kebetulan seorang teman mengundangnya menyertai perkhemahan agama itu.

"Mereka hanya bernyanyi. Suara mereka bagus sekali, tetapi saya bingung kerana tidak memahami sepenuhnya apa yang cuba disampaikan.

"Mereka kemudiannya memberitahu bahawa Tuhan mencintai saya. Ia menyebabkan saya kehairanan kerana bagaimana mungkin tuhan mencintai saya sedangkan anjing yang saya pelihara pun tidak pernah menyayangi saya," katanya.

Ruben beralih pula kepada mazhab lain dalam Kristian iaitu Katholik dan Anglican Baptis.

Namun, sekali lagi beliau kecewa terutama apabila men dapati setiap paderi yang diajukan soalan akan memberi jawapan yang berbeza-beza pada satu topik-topik yang khusus.

Apabila beralih untuk mengenali agama Hindu, Ruben tidak mampu memahaminya walaupun agama itu turut melibatkan ketuhanan yang suci dan sebagainya.

Apabila menyedari nama Ruben itu berasal daripada Rubenstein, iaitu sebuah nama Yahudi, Ruben kemudiannya mencari apa yang boleh ditemui dalam agama Yahudi.

Malang sekali agama itu juga tidak dapat diterimanya kerana beliau sedar pasti ada diskriminasi apabila agama itu menjadi anutan bangsa Yahudi semata-mata.

Sehinggalah pada suatu hari, Ruben bertemu seorang temannya yang beragama Kristian yang bertanya mengenai apakah kesudahan pencariannya itu.

"Saya memberitahu hampir kesemua agama di dunia ini telah dicuba untuk dipercayai. Sama ada Kristian, Katholik, Hindu, Buddha, Anglican tetapi tiada satu pun yang menarik hati saya," katanya.

Lalu temannya bertanya lagi: "Bagaimana dengan Islam?"

Pertanyaan itu menyebabkan Ruben mencemuh: "Apa, Islam? Buat apa saya mengenali apatah lagi hendak menerima agama keganasan itu. Itu kerja gila."

Itu kata-kata yang keluar daripada mulut Ruben sedangkan bahasa dan tindak balas tubuhnya adalah berbeza.

"Saya tidak tahu mengapa dan apa yang menggerakkan saya. Yang jelas saya segera menyarungkan kasut, berpakaian rapi dan terus menuju ke sebuah masjid berhampiran tanpa tujuan yang pasti," katanya.

Sejurus masuk ke dalam masjid, perasaan Ruben bertukar menjadi cemas.

"Saya terfikir bahawa saya bakal mati di sini kerana saya satu-satunya yang berkulit putih di masjid ini. Pasti saya akan dilihat seperti seorang kafir yang layak dibunuh," katanya.

Saat itu juga keluar seorang lelaki berbangsa Arab, saiz badannya agak besar dengan jambang yang tebal dan berjubah putih.

Sambil memperkenalkan dirinya sebagai Abu Hamzah, lelaki Arab itu menyapa Ruben dengan ramah. Malah meminta seorang lelaki yang lain supaya menghidangkan teh kepada Ruben sebagai tetamu.

"Sesuatu yang di luar dugaan. Tidak pernah saya bayangkan bakal mendapat layanan baik sebegini rupa," kata Ruben.

Lalu dalam pertemuan itu, Ruben bertanyakan kepada Abu Hamzah pelbagai persoalan mengenai kehidupan.

Termasuk mengenai temannya yang mati akibat ketagihan dadah, mengenai masa lalu dan masa akan datang dan bagaimana Islam dapat menjawab semua persoalan itu.

Lalu Abu Hamzah pun bangun mengambil senaskhah al-Quran dan membuka kitab itu dan menunjukkan sepotong ayat serta meminta Ruben membaca seraya berkata: "Ini jawapannya."

"Sungguh mengejutkan. Kepala saya bagai dihentak kuat apabila ia benar-benar satu jawapan yang tepat. Ini menyebabkan saya terus bertanyakan pelbagai hal yang lain mengenai Islam yang sering dimomok-momokkan oleh orang ramai.

"Ini termasuklah mengenai membela janggut dan jambang, mengapa perlu memakai hijab sehingga mengapa Islam benarkan beristeri empat dan sebagainya lagi.

"Saya fikir itu adalah pertanyaan-pertanyaan yang sukar untuk dijawab. Tetapi sungguh luar biasa, mereka selalu membuka al-Quran dan lalu memberikan kepada saya untuk dibaca.

"Dan pada malam itu saya ditemani senaskhah al-Quran yang saya baca tanpa henti," ujar Ruben.

Al-Quran pandu saya - Ruben

Membaca al-Quran bukan sahaja menemukan Abu Bakar Ruben dengan pelbagai kisah tetapi beliau juga dapat merasakan seolah-olah ada yang memandu dirinya.

Beliau mendapati al-Quran bukan sahaja benar tetapi juga sangat diterima akal dan bersifat ilmiah.

Ia menyebabkannya merasa amat takjub bagaimana al-Quran menghuraikan proses penciptaan dan kelahiran manusia, pembiakan proses sel telur yang menciptakan gumpalan darah, tumbuh tulang, tiupan roh hingga akhirnya membentuk janin yang siap sedia untuk dilahirkan ke dunia.

"Inilah yang saya cari, ini yang saya perlukan," jelasnya.

Saat Ruben sedia hendak dilahirkan sebagai Islam beliau memerlukan satu petunjuk Allah bagi menguatkan lagi keputusannya.

"Saya sudah bersedia untuk melakukan lompatan besar. Tetapi saya tapi inginkan satu dorongan saja dari tuhan. Tak perlu besar, kecil sahaja pun sudah cukup," katanya.

Untuk itu Ruben melakukan 'dialog' dengan Tuhan.

"Tolonglah Allah satu (petunjuk) sahaja, tunjukkanlah kalau Engkau benar," pintanya sendirian sambil duduk diam di tengah-tengah satu ruang bilik dengan sebatang lilin yang bernyala.

Lama juga dia menunggu. Tetapi tidak satupun yang luar biasa yang terjadi.

"Terus terang saya katakan, saya sangat kecewa saat itu; Wahai Tuhan, engkau telah mensia-siakan satu-satunya peluang yang aku kehendaki," ujar Ruben yang akhirnya memutuskan untuk membuka al-Quran.

Tiba-tiba beliau terhenti pada ayat berikut: Dan Dia menundukkan malam dan siang, matahari dan bulan untukmu. Dan bintang-bintang itu ditundukkan (untukmu) dengan perintah-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang memahami(nya). (an-Nahl: 12)

Membaca ayat itu menyebabkan Ruben tersedar.

"Betapa sombongnya saya menuntut tanda spesifik seperti yang saya mahu. Matahari dan semua ciptaan-Nya di muka bumi ini adalah satu petanda buat kita semua untuk menghayati dan mendapatkan pengajaran daripadanya," kata Ruben.

Selepas yakin dengan keputusannya, Ruben kembali berkunjung ke masjid. Setibanya di masjid, beliau terkejut apabila mendapati ia dipenuhi para jemaah kerana pada hari itu adalah malam pertama menyambut Ramadan.

Lalu Ruben menemui imam masjid bagi menyatakan niatnya memeluk Islam. Maka berlangsunglah satu majlis yang sangat bermakna apabila Ruben diminta mengucap dua kalimah syahadah.

Pada hari pertama Ramadan itu Ruben dengan rasmi menjadi Muslim. Sejurus selesai, beliau mengaku bagaikan satu beban yang besar dan berat telah ditarik dan terlepas keluar dari tubuhnya.

"Saya merasa sangat ringan," ujarnya.

Ditambah dengan sambutan teriakan dan takbir Allahu Akbar oleh para jemaah masjid menyebabkan Ruben benar-benar terharu dan sebak kegembiraan.

source : UTUSAN



Sunday, April 3, 2011

Bukan Semua Org Belajar Sebab Nak Dpt 9A

Salam,

Kadang-kadang kita dapat merasakan hidup ini bagaikan satu kembara ilmu yang tiada berpenghujung. Itulah yang dapat saya rasakan tatkala mengikuti rakan-rakan saya di NGO Wargakilang melawat sebuah Pondok Tradisional di pedalaman Beris, SIK Kedah pada hujung minggu yang lalu.


Melawat Pondok Tuan Guru Hj Mat Nahu ini bagaikan sebuah perjalanan merentas masa ke zaman saya yang silam. Barisan rumah pondok kayu yang tidak berapa tersusun di sepanjang gigi sungai itu mengingatkan saya kepada rumah-rumah lama di kampong sewaktu kecil dahulu. Yang menambah nostalgianya, tatkala Mudirnya, Ustaz Kamil membawa kami berjalan-jalan di sekitar kawasan pondok berkenaan, kami tiba di tebing sungai, tempat budak-budak pondok ini mandi manda; terus saya teringat zaman budak-budak saya dulu.


Di tebing yang hampir serupalah, saya berselimut kain pelikat atau kain batik di kedinginan subuh pagi, kemudian terus terjun ke dalam sungai tanpa apa-apa, dan serentak itu juga meloncat naik semula ke pinggir tebing, terus pulang ke rumah bersiap untuk ke sekolah. Itulah rutin harian saya setiap pagi di hari sekolah.

Bila pulang dari sekolah, saya melalui satu kawasan pinggir hutan yang ada pokok ASAM GELUGOR, kadang-kadang saya pungut beberapa biji buah yang gugur dibawa pulang untuk arwah ibu jadikan Asam Keping. Di sebelah petang, saya dengan kawan-kawan selalu masuk ke pinggir hutan simpan berdekatan men-terbil burung, melastik buah SETOI atau pun memanjat dahan RAMBAI.

(Ustaz Kamil, berkain pelikat bergambar beramai-ramai di tebing sungai)


Ah, begitu berbetulan sekali, rupa-rupanya di tebing sungai Pondok ini ada ketiga-tiga pokok itu; ASAM GELUGOR, Pokok SETOI dan Pohon Rambai, akarnya berkongsi tapak yang sama di tepi tebing itu.


Pondok Tuan Guru Hj Mat Nahu ini memang betul-betul jauh ke pedalaman, sudahlah tidak ada line h/p, kedudukannya yang begitu jauh hingga terhimpit ke tebing sungai ini betul-betul mengingatkan saya kepada kata-kata orang ALIM, yang antara lain berbunyi:

“Di akhir zaman nanti, bila mana FITNAH berleluasa dalam masyarakat, larilah kamu ke tempat yang jauh dari orang ramai demi memelihara agamamu”

Saya tak pasti sama ada ini adalah hadith atau pun cuma kata-kata orang ALIM. Tapi itulah hakikatnya di zaman ini, kalau kita betul-betul nak jaga kemurniaan ISLAM yang ada dalam diri kita, memang hari ini kita memang tak sesuai dah duduk dalam masyarakat orang ISLAM yang kita ada la nie. Ya lah, merata fitnah dok ada, pi kedai nak beli roti boleh nampak muka depan akhbar ka majalah apa ka dengan gambaq seksi dan kisah-kisah seks sensasi. Bawa anak isteri pi beli barang di shopping complex pula, tipulah kalau tak bertembung dengan pompuan tua muda yang berpakaian seksi berbagai aksi. Bawa kereta lalu lalang boleh nampak papan iklan dengan imej wanita menggoda berbagai gaya.

Pendek kata, kalau ikut kata-kata orang ALIM di atas, memang tempat ulu macam Pondok TG Hj Mat Nahu inilah patutnya kita pakai lari mai kalau betul-betul kita nak jaga kesucian dan kemurniaan cahaya Islam di dada.

Tuan Guru Hj Mat Nahu sudah pun arwah, yang tinggal hanyalah anak-anak muridnya seperti Ustaz Kamil untuk meneruskan perjuangan. Mungkin Arwah sudah pun boleh nampak perkara ini (FITNAH akhir zaman), kerana itulah beliau memilih tempat yang terpencil ini untuk membuka pondoknya. Wallah hu aklam.

Yang paling menarik dan agak terkesima buat saya ialah Pondok ini dengan lebih kurang 80 orang pelajarnya, bukanlah seperti sekolah pondok atau pun sekolah agama rakyat yang biasa kita dengar; mereka di sini belajar seperti orang dulu-dulu belajar pondok, depa mai mengaji kitab semata-mata untuk mengaji agama dan mendalami ISLAM, dan bukan untuk dapat Sijil, Ijazah atau pun apa. Di sini tidak ada Sijil Tinggi Agama ka Sijil Rendah ka apa ka, apa tah lagi PMR atau pun SPM. Semuanya adalah 100% pure mengaji agama semata-mata, tidak ada sijil tidak ada apa.

Bila saya tanya Ustaz Kamil, dia kata depa ikut system yang digunapakai di Hadramaut Yaman mana entah, di mana orang mai mengaji sebab nak belajar agama bukan nak sijil atau pun apa. Habis tu, kalau tak ada SIJIL, nanti depa nak jadi apa?

(Sekarang ini kalau nak masuk calun pilihanraya pun, kalau kata dia tu Ustaz balik Al-Azhar, kena tunjuk Ijazah Azhar dalam suratkhabar woo)

Bila saya ajukan pertanyaan ini, Ustaz jawab:

“Matlamat kita ialah nak jadikan mereka ini sebagai INSAN BERTAKWA. Kerja apa, itu Allah yang tentukan, sebab setiap kita yang dilahirkan ini ALLAH SWT dah tentukan rezeki masing-masing. Apa pun kerja mereka nanti, kita harap mereka akan menjadi seorang pekerja yang BERTAKWA”

Tu dia, mana ada Sekolah kat Malaysia ini yang macam itu punya dok ada VISI dan MATLAMATnya, jauh melangkau minda sedar kita.


Cubalah lihat wajah anak-anak yang saya diberi kesempatan untuk menyampaikan sedikit ceramah motivasi, teknik untuk memotivasi diri sendiri ini; boleh nampak wajah-wajah GHURABA (pemuda aneh di akhir zaman) di dahi mereka.



Moga para GHURABA ini akan menjadi penyambung kepada warisan ISLAM yang diperturunkan kepada mereka oleh Tuan Guru mereka yang menerima daripada arwah Tuan Gurunya yang menerima daripada Tuan Guru yang terdahulu, dan bersusur galur hingga ke zaman awal Islam. Moga dengannya nanti, anak cucu cicit kita akan mampu terus bernafas dengan cahaya Islam yang akan terus bersinar selagi mana adanya sistem-sistem pondok tradisional seperti ini.

Jika ada masa, kunjungilah pondok TG Hj Mat Nahu ini; banyak bantuan yang mereka perlukan. Kata Ustaz Kamil, selain daripada makanan harian dan kain pakai seperti kain pelikat dan baju, mereka juga berbesar hati kalau ada sesiapa yang mampu tolong bina madrasah tempat mereka belajar kerana di madrasah kayu dengan atap zink berlubang sana sini yang kami tumpang solat zohor dan buat kenduri tahlil ini, di sinilah juga sebenarnya merupakan rumah Ust Kamil, mudir pondok ini sendiri.

Moga apa saja bantuan yang dapat disalurkan terus kepada pihak Pondok TG Hj Mat Nahu ini akan dikira sebagai balasan pahala yang berkekalan buat kita semua di Akhirat nanti.

Ada masa pi lah melawat depa, boleh bawa anak-anak kot kalau depa teringin nak terjun sungai ka apa. (Orang lain tak tau, tapi saya tunggu cuti sekolah ja nanti, nak bawa anak-anak mandi manda kat situ, nak tunjuk kat depa macam mana Abah depa mandi pagi waktu kecik-kecik dulu).

Sekian, sekadar perkongsian akan sebuah kisah realiti yang terperosok di penghujung zaman. Bukan semua orang mengaji/belajar sebab nak dapat 9A!!

dipetik dari ...